Pos kawalan baharu di EssZone bukti kerajaan tumpu keselamatan Sabah

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Pembinaan pos kawalan baharu serta kem tentera di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bukti kerajaan beri tumpuan penuh terhadap isu keselamatan di Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, Pos Kawalan Sempadan Manalunan serta Pos Kawalan Sempadan Simanggaris, selain kem tentera di Felda Sahabat dan kem Pasukan Gerakan Am (PGA), akan dibina dalam tempoh RMK12.

“Dalam pada itu, Pos Kawalan Kuala Meruap, Pos Kawalan Siguntur serta sebuah Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau (IFOB) di Tambisan juga akan dilaksanakan dalam tempoh RMK12.

“Ini antara sebahagian kecil yang dimohon ESSCom untuk 'fencing' ESSZone dan kawal jenayah rentas sempadan termasuk penculikan untuk wang tebusan (KFR),” katanya kepada Bernama.

Menurut Ahmad Fuad, ESSCom juga turut mencadangkan keperluan aset seperti enam pesawat pengawasan, 15 radar serta 30 bot tempur, namun masih belum diputuskan.

“Aset-aset ini jika diperolehi dapat 'fencing' keseluruhan kawasan ESSZone termasuk 70 kawasan tumpuan jenayah rentas sempadan, dan radar boleh diletakkan di kawasan tumpuan ini, misalnya radar ini bukan sahaja boleh digunakan ESSCom, tetapi agensi penguatkuasaan lain.

“Kita minta beri tumpuan betul-betul pada ESSZone kerana kajian ESSCom mendapati ancaman berterusan berlaku di ESSZone, kita tidak mahu ancaman ini penyebab kesan negatif pada ekonomi, kita hilang pelancong, aktiviti perdagangan barter terhenti dan segi sosial seperti penduduk takut,” katanya lagi.

Beliau berkata, aspek keselamatan serta keperluan aset berkenaan juga ada dibentangkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang turut menyambut baik perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fuad sementara itu memohon kerjasama semua pihak, terutama penduduk agar dapat menjadi 'mata dan telinga' dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah rentas sempadan kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera. - Bernama