'Saya maafkan, sudah ‘move-on’ tapi jangan ulang'

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi ‘kesilapan’ lalu yang boleh menyebabkan kepercayaan terhadap institusi penting negara terhakis.

Beliau berkata demikian ketika mengaitkan kes membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.

“Kita bicara soal keselamatan negara, bagaimana kita boleh jamin negara ini selamat kalau kita tidak tahu institusi mana yang boleh dipercayai?

“(Ahli Parlimen) Kulim Bandar Baharu (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) sebut pengalaman (ketika itu) Permatang Pauh.

Itu tak apa.

Saya ni senang, sudah-sudahlah, maafkan dan 'move on', tapi janganlah sekarang berlaku lagi,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM sahkan penahanan tiga pegawai

Peristiwa Anwar yang dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum dipenjarakan dalam ‘tragedi’ 1998 dikatakan menyebabkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara terhakis khususnya dalam kalangan penyokongnya dan penggerak reformis.

Artikel Berkaitan:

Selepas 20 tahun, Anwar bebas daripada episod keluar-masuk penjara dan kembali ke pentas politik pada 2018 setelah mendapat pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V ketika itu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kes membabitkan salah laku pegawai SPRM itu perlu dikendalikan dengan lebih bebas demi memastikan penguatkuasaan dan pendakwaan lebih telus.

“Kalau kita ambil tindakan sambil lewa dan tanpa apa-apa kenyataan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, bagi saya ia tidak boleh diterima.

“Patut ada penjelasan, tindakan luar daripada SPRM.

Kalau ini yang berlaku kepada SPRM, apa yang hendak diharapkan kepada isu-isu besar lain?

“Oleh demikian, tanpa prasangka kepada sesiapa, pendakwaan harus bebas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:PDRM tidak terima laporan 3 pegawai SPRM curi barang kes AS$6 juta