Kualiti pembinaan jalan di PIPC kurang memuaskan

Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang
Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kualiti pembinaan jalan baharu di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi kurang memuaskan terutamanya jalan beralun selain terdapat kelemahan pengurusan pembayaran caj lewat pampasan tanah, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2.

Menurut laporan itu, kelemahan lain bagi lima jalan baharu melibatkan Jalan P1, P2, P3, P4 dan Pularek dengan kos projek asal bernilai RM954.33 juta sepanjang 38.7 kilometer itu dikenal pasti berlakunya kekurangan koordinasi antara agensi pelaksana mewakili kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan di peringkat perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

"Masalah pemendapan berlaku di bahagian 'road embankment', lokasi sambungan antara jambatan dengan 'road embankment' dan sambungan antara struktur 'pile embankment' dengan 'road embankment'. Pemendapan dalam bentuk 'differential settlement' dikesan pada kedua-dua lokasi sambungan tersebut menyebabkan permukaan jalan beralun.

"Berdasarkan laporan geoteknikal bagi Jalan Pularek dan lukisan pembinaan lima jalan berusia antara empat dan 26 bulan itu, kawasan pembinaan projek jalan di PIPC terletak di kawasan rendah dan jenis tanah adalah tanah liat lembut dengan ketebalan berbeza-beza, antara 15 meter (m) hingga 30m," menurut laporan itu.

Pengauditan dijalankan antara 2013 hingga Disember 2019 itu juga mendapati pengurusan pembayaran pampasan tanah termasuk caj lewat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah tidak cekap kerana tiada pangkalan data yang khusus untuk semakan semula pembayaran kepada penerima bayaran.

"JKR telah membuat bayaran dua kali bagi caj lewat melebihi tempoh genap masa sejumlah RM40,623.80. Selain itu, lebihan bayaran oleh kerajaan sejumlah RM88,077.25 disebabkan perbezaan caj lewat lapan peratus pengambilan tanah antara kedua-dua tarikh Pemberitahuan Bahawa Tanah Telah Diambil Milik atau Borang K yang telah dikeluarkan dua kali," menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kelemahan dalam menangani isu sampah yang berada dalam 'right of way' (ROW) jajaran Jalan P2 pada peringkat awal menyebabkan arahan perubahan kerja sejumlah RM10 juta dan pelanjutan masa (EOT) selama 103 hari dilakukan.

"Semakan Audit terhadap laporan makmal kejuruteraan nilai diadakan pada 25 September hingga 1 November 2015 mendapati isu kewujudan sampah dalam ROW Jalan P2 tidak dibincangkan dan perkara ini menyebabkan pertambahan kos dan masa pembinaan bagi tujuan mengalihkan sampah tersebut supaya kerja pembinaan dapat dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklum balas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), menerusi Mesyuarat Penyelesaian Isu Jajaran Jalan P2 pada 13 Oktober 2016 memutuskan tapak pelupusan sampah tersebut ditutup dan pembuangan sampah dari lokasi berkenaan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Batu 4, Kota Tinggi bagi memastikan ia tidak mengganggu pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan awam di PIPC," kata laporan itu.

Bagi memastikan kelemahan dibangkitkan tidak berulang dalam pelaksanaan projek pada masa akan datang, antara disyorkan Audit ialah JKR hendaklah merangka langkah penyelesaian jangka panjang yang bersesuaian bagi menyelesaikan isu pemendapan yang berlaku di rangkaian jalan PIPC.

JKR perlu mewujudkan satu prosedur jelas dan tidak bercanggah dengan amalan kontrak dari aspek pematuhan terhadap spesifikasi atau kriteria ditetapkan bagi menjamin 'International Roughness Index' (IRI) dipatuhi bagi memastikan kecekapan dalam pentadbiran pelaksanaan projek, mengurangkan implikasi kos serta melindungi kepentingan kerajaan.

Audit turut mengesyorkan agar JKR mewujudkan satu mekanisme pemantauan sistematik seperti membangunkan pangkalan data penerima pampasan tanah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pembayaran pampasan bagi mengelak implikasi kewangan akibat caj bayaran lewat selaras dengan Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.

Selain itu, JKR perlu mewujudkan koordinasi secara efektif dengan agensi pelaksana termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor Berhad (JPDC) bagi masalah yang masih belum diselesaikan di jajaran pembinaan yang berkongsi ROW. - Bernama