X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

PAAB dijangka alami defisit RM13.25 juta hingga RM235.21 juta

Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB)
A
A

PENGURUSAN Aset Air Bhd (PAAB) dijangka mengalami defisit aliran tunai berjumlah RM13.25 juta hingga RM235.21 juta bagi tempoh 2025 hingga 2037, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 - Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada Selasa itu, defisit terbabit mungkin berlaku sekiranya masalah ketidakpadanan tempoh bayaran balik pinjaman selama 25 tahun kepada kerajaan Persekutuan dan tempoh hasil sewa pajakan selama 45 tahun Operator Air Negeri tidak diselaraskan antara Kementerian Kewangan (MOF) dan PAAB.

“Perkara ini disebabkan tempoh pembayaran pinjaman yang lebih singkat berbanding tempoh kutipan sewa pajakan yang seterusnya mewujudkan risiko keupayaan penyelesaian pinjaman kerajaan Persekutuan oleh PAAB,” jelasnya.

Menurut laporan itu, sehingga 2020, Pengurusan Aset Air SPV Bhd (PASB), anak syarikat PAAB telah menerbitkan sukuk berjumlah RM37.980 bilion (81 peratus) daripada RM46.890 bilion yang diluluskan oleh MOF.

“Pembiayaan semula sukuk yang matang berjumlah RM19.820 bilion dan baki semasa adalah berjumlah RM18.160 bilion (47.8 peratus).

“Setakat 2020, PAAB telah menggunakan RM19.820 bilion sukuk matang bagi pembiayaan semula terbitan sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) sejumlah RM17.890 bilion; pembangunan aset (RM1.180 bilion); serta penstrukturan semula bagi Selangor dan Kelantan (RM750 juta),” tambahnya.

LKAN menjelaskan, secara keseluruhannya, PAAB telah mencapai objektif penubuhan selaras dengan Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri (Skim Migrasi) melalui aktiviti pembangunan infrastruktur air.

“Aktiviti ini juga telah memberi manfaat dan faedah antaranya dengan mengurangkan beban kewangan Operator Air Negeri dan meningkatkan mutu perkhidmatan air.

“Pendapatan sewa pajakan yang diterima daripada Operator Air Negeri membantu syarikat mencatat keuntungan sebelum cukai dan meningkatkan keuntungan terkumpul syarikat serta menyumbang kepada kedudukan kewangan PAAB pada tahap stabil dan membolehkan bayaran balik pinjaman dibuat kepada kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Bagaimanapun, wujud kelewatan menyiapkan projek yang menyebabkan ia tidak dapat diserahkan kepada Operator Air Negeri mengikut jadual.

“Sebanyak 60.8 peratus projek pembangunan aset air lewat disiapkan mengikut jadual asal serta terdapat kelewatan dalam permohonan dan kelulusan pelanjutan masa,” tambahnya.

Selain itu, fungsi lembaga pengarah perlu dipertingkatkan terutama berkaitan pemantauan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya PAAB dapat beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan.

Justeru, LKAN mengesyorkan lembaga pengarah PAAB menambah baik KPI syarikat bagi perspektif kewangan, pelanggan, pembelajaran, kepuasan pekerja dan komunikasi serta persekitaran supaya KPI keseluruhan syarikat dapat dicapai sepenuhnya.

“PAAB juga perlu melaksanakan penilaian wajar sebelum aset air diambil alih untuk negeri yang dijangka menyertai Skim Migrasi bagi mengenal pasti kewajaran aset yang diambil alih.

“Pihak pengurusan dan lembaga pengarah PAAB disyorkan perlu menarik perhatian MOF bagi menyelesaikan masalah ketidakpadanan berkaitan tempoh bayaran balik pinjaman bagi mengelakkan berlakunya defisit tunai,” menurutnya.

LKAN turut mengesyorkan pihak pengurusan PAAB mengambil tindakan sewajarnya terhadap Operator Air Negeri yang tidak mengemukakan jadual dan laporan penyenggaraan kepada PAAB selaras dengan Klausa 8 Perjanjian Fasiliti. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!