Pas optimis satukan Bersatu, UMNO

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) meninjau program vaksinasi pelajar di SMK Pengakalan Berangan di Marang pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) meninjau program vaksinasi pelajar di SMK Pengakalan Berangan di Marang pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Pas optimis mampu memainkan peranan sebagai 'pendamai' dalam usaha menyatukan parti-parti politik terutama melibatkan hubungan antara dua parti Melayu Islam iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha tersebut bukan semata-mata demi parti, penyatuan parti politik membawa pengertian besar khususnya dalam menyelesaikan masalah dialami rakyat ketika ini.

"Mahu mendamaikan pihak yang berselisih pandangan itu membawa maksud yang baik dan positif, malah Pas sangat optimis kita boleh memainkan peranan tersebut.

"Apabila orang Melayu, Islam boleh duduk berbincang untuk kepentingan bersama, bagi saya itu merupakan keadaan yang sangat baik berbanding puluhan tahun lalu kita berada di meja berbeza dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melawat program vaksinasi pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengakalan Berangan pada Selasa.

Menurut Ahmad Samsuri, langkah penyatuan parti Melayu dilihat semakin positif berikutan ketiga-tiga parti (Pas, UMNO, Bersatu) sudah boleh duduk berbincang bersama-sama berbanding situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahad lalu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad turut menegaskan bahawa Pas kekal dengan pendirian menjadi penyatu kepada UMNO dan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Pas menolak sebarang muafakat berpecah sekali gus teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di samping mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Artikel Berkaitan: