'Kami tak akan masuk campur pertikaian AirIAsia-MAHB' - MAVCOM

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata ia tidak akan campur tangan dalam pertikaian antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan AirAsia Group Bhd (AirAsia).

Pengerusi Eksekutif Mavcom Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata pertikaian komersial antara dua pihak itu tidak akan menjejaskan operasi Mavcom.

"Peranan kami adalah untuk memastikan peraturan dipatuhi dan Mavcom juga berperanan sebagai pengawal selia persaingan. Kami tidak akan membiarkan pertikaian ini menjejaskan operasi Mavcom. Kami menghadapi masalah tetapi buat masa sekarang semuanyanya berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel anjuran Institut Penyelidikan Khazanah hari ini.

Nungsari juga berkata sebelum kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) dilaksanakan, setiap pemain industri di bawa ke meja perbincangan dan keputusan yang dicapai akan dipersetujui sebulat suara.

"Ia dapat dilihat di laman web kami dan dapat diakses oleh semua orang. Oleh itu, pertikaian ini hanya di antara mereka (MAHB dan AirAsia) dan tidak melibatkan Mavcom," katanya.

Menurut laporan sebelum ini, AirAsia telah menyerahkan notis terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menuntut ganti rugi hampir RM480 juta bagi kerugian dialaminya daripada beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Sementara itu, MAHB dilaporkan berkata ia akan menyelesaikan perkara-perkara kontrak yang berkaitan dengan PSC melalui mahkamah kerana ia bertujuan untuk mendapatkan semula kerugian kira-kira RM7 juta sebulan kerana AirAsia tidak mengambil kira kadar RM73 yang diwartakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: