RM400 bilion diperuntuk untuk perbelanjaan pembangunan

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dianggarkan sebanyak RM400 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan (DE) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu merupakan peningkatan ketara berbanding RM248.5 bilion pada RMK11.

Menurutnya, peruntukan DE bagi Bajet 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosioekonomi dan agenda pembangunan negara.

"Antara fokus Bajet 2022 adalah untuk memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam.

"Sehubungan itu, Bajet 2022 akan menyokong strategi RMK12 untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti unit rawatan rapi (ICU) termasuk melalui usahasama dengan penyedia kesihatan swasta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selain itu ia juga akan memfokuskan dengan membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman terutamanya dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri.

"MOF juga akan memangkin pembaharuan selaras dengan dasar dan strategi yang diutarakan dalam RMK-12," katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program Jalinan Digital Negara (Jendela) serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya oleh perusahaan kecil sederhana (PKS).

Artikel Berkaitan:

"Fokus RMK12 kepada pembangunan lestari juga akan disambut dalam Bajet 2022 ke arah mencapai sifar pelepasan karbon contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV)," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan ruang fiskal mencukupi untuk membiayai kesemua program pembangunan di bawah RMK12, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.

"Dalam jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor-sektor ekonomi dan memastikan pemulihan yang mampan.

"Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, namun kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana," katanya.

Katanya, cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) juga akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

"Keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang.

"Keutamaan ini bukan sahaja akan dilaksanakan selari dengan teras-teras RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tetapi juga akan berteraskan prinsip pengurusan kewangan berhemah bagi mendepani situasi Covid-19 yang mencabar," katanya.