Tiada LOGC tanggungan peserta MM2H undang risiko keselamatan negara

Ketiadaan syarat keperluan Letter of Good Conduct (LOGC) untuk sahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara. - Foto 123RF
Ketiadaan syarat keperluan Letter of Good Conduct (LOGC) untuk sahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR, - Ketiadaan syarat keperluan Letter of Good Conduct (LOGC) untuk mengesahkan tanggungan yang dibawa peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) adalah bebas daripada salah laku jenayah, menimbulkan risiko keselamatan negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri Dua, pengurusan program MM2H juga didapati kurang cekap dan kurang berkesan dengan ketiadaan pangkalan data secara bersepadu dan kelemahan kawalan dalaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

"Semakan Audit selanjutnya mendapati tiada LOGC disertakan bagi 107 tanggungan yang dibawa oleh 59 peserta kerana peraturan tidak menetapkan LOGC perlu dikemukakan bagi tanggungan yang dibawa peserta dan tiada kaedah lain ditetapkan bagi mengesahkan tanggungan adalah bebas daripada salah laku jenayah di negara asal," menurut laporan itu.

Semakan Audit turut mendapati, peraturan atau prosedur yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

"Selain itu, syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak Program MM2H dimulakan pada 2002. Pengakuan tahap kesihatan pemohon Program MM2H yang tidak selari mengundang risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya.

"Anak peserta pula menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam," menurut laporan itu.

Kelemahan lain adalah ketidakpatuhan terhadap peraturan Program MM2H apabila terdapat peserta dan tanggungan kepada peserta bekerja di Malaysia dan ketiadaan punca kuasa menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan.

"Ketidakberadaan peserta dalam tempoh yang lama dalam negara menyebabkan objektif Program MM2H untuk peserta tinggal dan hidup mewah di Malaysia tidak tercapai,” menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, secara umumnya pencapaian penyertaan MM2H bagi tempoh 2015 hingga September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500 orang.

Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan Program MM2H MOTAC mencapai objektif yang ditetapkan, adalah disyorkan MOTAC dan JIM mengambil tindakan penambahbaikan.

"Koordinasi antara MOTAC dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

"MOTAC perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu Audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan Program MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan atau realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan MOTAC, JIM dan Jawatankuasa Pemandu MM2H perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

Selain itu, kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur atau standard yang ditetapkan JIM dan Kementerian Kesihatan.

Di samping itu, laporan berkenaan turut mengesyorkan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dikuatkuasakan dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan. - Bernama