MITI disaran tetapkan indikator pencapaian objektif dasar APTK

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) disaran untuk menetapkan indikator pencapaian objektif dasar Approved Permit Terbuka Kenderaan (APTK) bagi memastikan pelaksanaan penilaian keberhasilan secara menyeluruh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 - Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Pesekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan yang dikeluarkan pada Selasa, indikator itu merujuk kepada sasaran secara khusus untuk mengukur keberkesanan pengurusan APTK dalam pencapaian keberhasilan.

Selain itu, MITI juga perlu memastikan bahawa semua agensi yang menganggotai Jawatankuasa Bertindak Menangani Penyelewengan AP (JKBMP-AP) turut melaksanakan peranan masing-masing dengan berkesan.

Malah, aktiviti penguatkuasaan juga harus dimantapkan bagi meningkatkan tahap pematuhan syarikat APTK terhadap peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan, kata laporan itu.

“Pihak Audit dimaklumkan bahawa tindakan telah diambil terhadap syarikat yang tidak mematuhi garis panduan ditetapkan menerusi lawatan pemantauan yang dijalankan. Bagaimanapun, daftar (tersebut) tidak diselenggara bagi merekodkan kesalahan serta tindakan yang dikenakan terhadap syarikat berkenaan.

“Maklumat tindakan penguatkuasaan hanya dapat disemak melalui minit Mesyuarat Jawatankuasa Mentadbir Lesen Import (JKAP). Berikutan itu, bilangan keseluruhan syarikat yang dikenakan tindakan bagi tempoh 2017 hingga 2019 tidak dapat disahkan,” kata laporan tersebut.

Objektif dasar APTK adalah untuk memperkasa agenda ekonomi Bumiputera dan memberi peluang sama rata kepada usahawan Bumiputera terlibat dalam sektor automotif, memastikan sumbangan dasar APTK kepada sosioekonomi negara tidak terjejas dan memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai untuk membeli kereta import pada harga yang kompetitif.

Laporan tersebut juga menyarankan supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mewujudkan mekanisme pemantauan melalui sistem bagi memastikan kutipan hasil cukai dan duti import dilaksanakan dengan lebih cekap.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhannya bagi tempoh 2017 hingga 2020, jumlah cukai kurang pungut yang ‘dikuiri’ (dipersoalkan) oleh Cawangan Verifikasi dan Profiling (CVIP), JKDM Kuala Lumpur dan Selangor adalah bernilai RM30.33 juta yang melibatkan sebanyak 661 pertanyaan.

Setakat 31 Disember 2020, jumlah yang telah dijelaskan adalah bernilai RM12.08 juta (39.8 peratus) manakala baki bernilai RM18.25 juta (60.2 peratus) masih tertunggak.

Laporan Ketua Audit Negara juga menyarankan supaya sistem maklumat yang bersepadu diwujudkan antara MITI dan JKDM bagi memastikan kawalan serta pemantauan terhadap penggunaan APTK dapat dilaksanakan secara berkesan. - Bernama