Pengurusan sistem pilihan raya memuaskan

Pengurusan sistem pilihan raya memuaskan
Pengurusan sistem pilihan raya memuaskan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan sistem pilihan raya adalah memuaskan dari aspek menyokong pelaksanaan fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2.

Menurut laporan itu, audit yang dijalankan pada Februari hingga Disember tahun lepas mendapati, beberapa kelemahan pengurusan sistem sedia ada serta melibatkan kawalan akses, penyediaan sandaran dan kesinambungan perkhidmatan yang perlu diambil kira dalam pembangunan sistem baharu bagi menjamin integriti data serta keutuhan sistem SPR.

"Penemuan utama Audit yang perlu diberi perhatian mengenai kelemahan kawalan di peringkat SPR mendapati terdapat 41 banduan dan lima pesakit mental telah didaftarkan (pendaftaran baharu atau pertama kali) semasa berada dalam tempoh tahanan dan rawatan sehingga 5,968 hari dari tarikh pohon hingga sebelum keluar yang melibatkan lima pendaftar atau lokasi pendaftaran.

"Selain itu, sebanyak 931 atau 0.4 peratus daripada 211,215 jumlah rekod tentera atau polis yang mendaftar tidak mempunyai bukti semakan telah dilaksanakan oleh pegawai SPR melalui nombor kad pengenalan awam tentera atau polis tersebut," menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu turut menyebut proses penetapan lokaliti bagi 24,467 atau 0.4 peratus daripada 6,310,578 pemilih telah mengambil masa melebihi tiga bulan iaitu antara tiga hingga 96 bulan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,833 pemilih lewat dimasukkan ke Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT)," menurut laporan itu.

Laporan itu turut mendedahkan, semak silang antara data Daftar Pemilih Induk (DPI) bagi suku tahun ketiga 2019 (DPI ST3/2019) dan rekod pemegang kad pengenalan dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 10 Disember 2020 mendapati, 5,753 warganegara yang telah didaftarkan meninggal dunia dalam rekod JPN, masih wujud dan belum dibuat penandaan pemotongan dalam DPI.

Bagaimanapun, susulan Audit terhadap DPI ST4/2020 mendapati penemuan itu telah diambil tindakan pemotongan atau ditanda potong selepas teguran dibuat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Audit mengesyorkan agar SPR memastikan wujud integrasi data yang cekap antara sistem SPR dengan agensi luaran JPN, Kementerian Kesihatan, Jabatan Penjara Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

SPR juga disyorkan supaya membangunkan sistem yang berintegrasi secara dalaman merangkumi aspek pendaftaran pemilih, persempadanan dan perjalanan pilihan raya dengan aspek kawalan dalam setiap peringkat input dan output, kawalan kad pengenalan (ID) dan keselamatan serta pengurusan kesinambungan perkhidmatan diambil kira dalam pembangunan sistem baharu.

Selain itu, Audit mengesyorkan SPR menyediakan pelan tindakan keselamatan sistem dan pengurusan kesinambungan perkhidmatan bagi sistem sedia ada sementara menunggu sistem baharu siap.

"Data DPI dikemas kini dengan sempurna dan secara berkala mengikut tempoh bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan sistem dan integriti data yang wujud adalah relevan dan boleh dipercayai. SPR juga perlu mengenal pasti semua aspek keperluan perundangan dan peraturan untuk dibangunkan dalam sistem bagi mewujudkan mekanisme kawalan yang mantap," menurut laporan itu. - Bernama