JKR pantau cerun, kawasan risiko tanah runtuh

Fadillah (tengah) ketika memantau projek menaik taraf laluan Persekutuan dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Empat pada Selasa.
Fadillah (tengah) ketika memantau projek menaik taraf laluan Persekutuan dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Empat pada Selasa.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan memantau bahagian cerun atau jalan raya yang berisiko berlaku kejadian tanah runtuh berikutan peralihan monsun yang akan berlaku tidak lama lagi.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya kini bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan termasuk perubahan cuaca tidak menentu yang berlaku kebelakangan ini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk terjamin.

"Bila berlaku perubahan monsun, akan terjadi ribut petir dan hujan yang lebat, jadi dalam mesyuarat minggu lalu kita telah arahkan pasukan JKR untuk membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko berlaku tanah runtuh supaya langkah pencegahan awal dapat diambil.

"Sekiranya dapat dikesan kita kena lihat dari segi keselamatan supaya dapat memberi amaran awal kepada pengguna dan memasang segala peralatan yang perlu termasuk membuat lencongan atau menutup jalan sekiranya perlu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan projek menaik taraf laluan Persekutuan dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Empat di sini, pada Selasa.

Pada majlis sama, Fadillah turut merasmikan projek naik taraf jambatan merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian.

Fadillah (tengah) ketika memantau projek menaik taraf laluan Persekutuan dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Empat pada Selasa.
Fadillah (tengah) ketika memantau projek menaik taraf laluan Persekutuan dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Empat pada Selasa.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti kawasan berisiko selain meminta syarikat konsesi untuk memantau keadaan cerun dan laluan jalan raya di lebuh raya masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun kajian risiko pernah dibuat sebelum ini namun disebabkan perubahan cuaca dan kadar hujan yang tidak menentu menyebabkan hasil kajian tidak lagi sama.

Sementara itu, mengulas mengenai projek naik taraf laluan Persekutuan dalam daerah Seberang Perai Selatan yang diserahkan pada Selasa, Fadillah berkata, projek terbabit yang siap pada 24 Februari lalu berjaya disiapkan awal daripada tempoh ditetapkan.

"Selain itu, projek terbabit juga disiapkan dengan penjimatan sebanyak RM7.246 juta daripada kos asal RM116,600,00.

"Penjimatan ini satu petanda yang baik dalam usaha kerajaan mengamalkan penjimatan dalam perlaksanaan projek-projek infrastruktur negara," katanya.