Anwar dakwa lebih RM2 bilion dibelanja siapkan buku RMK12

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ketika Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada kepada konsultan luar negara.

"Saya difahamkan lima tahun dulu telah dibelanjakan RM1.8 bilion (kepada konsultan luar).

“Jadi saya nak tanya, lebih RM2 bilion diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK12 ini, mungkin sebahagiannya (kandungan kajian) kita boleh guna pakai,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan, peruntukan tersebut sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian termasuk berkaitan kemiskinan bagi menyiapkan buku RMK12.

"Saya yakin maklumat dan perancangan dalam negara boleh dan mampu dikendalikan oleh kepakaran dalam negara kerana mereka lebih faham masalah di negara ini.

"Siapa boleh faham masalah kemiskinan dan kesenjangan dalam negara, bukan pakar-pakar konsultan luar," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat yang menetapkan hala tuju strategik bertemakan 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan'.

Artikel Berkaitan:

Menerusi RMK12, kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850.

Kerajaan juga memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion, selain menjangkakan ekonomi negara pulih dan mencapai pertumbuhan yang lebih kuat antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun setelah mengalami pergolakan pada akhir RMK11 akibat pandemik Covid-19.