Negara dijangka peroleh pelaburan swasta RM1.3 trilion

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

PUTRAJAYA- Negara dijangka memperoleh pelaburan swasta RM1.3 trilion secara kumulatif.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) mengunjurkan jumlah pelaburan swasta setiap tahun sebanyak RM258 bilion.

"Ini bermakna jika sasaran ini dicapai, negara memperoleh pelaburan itu dalam masa lima tahun," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Pelan digitalisasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang diberikan fokus dalam RMK-12 bertepatan khususnya dalam konteks Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelabur asing (FDI) yang berimpak dan berteknologi tinggi.

"Ini adalah penting untuk meningkatkan daya saing dan tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau," katanya.

Beliau berkata, ekonomi digital disasar menyumbang 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDKK) menjelang 2025.

"Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G yang sedia ada," katanya.

Mohamed Azmin berkata, bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion akan dilabur oleh sektor swasta.

Artikel Berkaitan:

"Strategi digitalisasi bersama pengoperasian NIA akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik bagi memanfaatkan perjanjian perdagangan global seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Comprehensive and

Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP)," katanya.

Menurutnya, kementerian akan terus memperkukuhkan asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan terbuka, telus serta mesra-perniagaan.

"Memandangkan Perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara, maka RMK-12 mensasarkan untuk meningkatkan sumbangan KDNK sektor ini kepada 45 peratus," katanya.

Tambah Mohamed Azmin, pemerkasaan PMKS akan menyuntik dinamika dalam seluruh sektor ekonom khususnya ke kawasan luar bandar yang seterusnya memberi manfaat kepada Bumiputera.

Ujarnya, RMK-12 memberikan penegasan terhadap keperluan untuk menjamin keselamatan fizikal dan ancaman siber yang memerlukan anjakan paradigma dalam transformasi digitalisasi.

"Rancangan untuk memperkenal Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan akan merancakkan perkembangan industri yang akan memberikan kesan gandaan kepada ekonomi," katanya.

Beliau berkata, kejayaan dalam menjayakan RMK-12 bergantung kepada sokongan tidak berbelah bagi daripada rakyat.

"RMK-12 adalah satu kerangka perancangan yang komprehensif,

berorientasikan rakyat dan berpaksikan pendekatan whole of nation untuk memastikan Malaysia menikmati pertumbuhan yang mampan dan lestari bagi perkongsian Keluarga Malaysia," katanya.