Longgok sisa pepejal terkawal, pemilik restoran didenda RM10,000

Mohd Zulhairi (dua dari kanan) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran pada 21 Julai tahun lalu.
Mohd Zulhairi (dua dari kanan) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran pada 21 Julai tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Sesyen Kuantan mengenakan hukuman denda RM10,000 kepada pemilik sebuah restoran atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran pada 21 Julai tahun lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membuat keputusan itu selepas pemilik restoran Muhaimeen Tom Yam @ Seafood, Mohd Zulhairi Razali selaku orang kena saman mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan pada pagi Selasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulhairi mengaku telah menyebabkan longgokan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial tanpa kebenaran.

Perbuatan itu dilakukan tiga pekerja bersebelahan sebuah kedai di Jalan Kuantan - Jalan Pintasan Kuantan kira-kira jam 12.40 pagi, pada 21 Julai 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) Akta sama.

Kesalahan ini boleh didenda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Muhamad Fadhli Syam Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Mohd Zulhairi merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman benda memandangkan kerja-kerja pembersihan di kawasan pembuangan sisa sudah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Muhamad Fadhli meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam, alam sekitar serta aduan masyarakat.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.