Belum ada permohonan rasmi bina jambatan ketiga Pulau Pinang

Fadillah (tengah) pada sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Pulau Pinang pada Selasa.
Fadillah (tengah) pada sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Kerja Raya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga di negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian awal perlu dibuat bagi melihat keperluan projek berkenaan kepada rakyat selain menilai kesan sosial dan ekonomi sekiranya projek itu dilaksanakan.

Menurutnya, impak alam sekitar juga perlu dikaji bagi memastikan projek yang dijalankan tidak menjejaskan kualiti alam sekitar dan kehidupan marin.

"Dalam melaksanakan apa-apa projek pertama sekali perlu ada kajian awal sama ada projek ini diperlukan atau tidak.

"Malah, kajian perlu menyeluruh perlu dilaksanaan bagi mengenal pasti kesan terhadap sosial ekonomi dan alam sekitar. Keseluruhan impak ini perlu dikaji," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di negeri ini pada Selasa.

Fadillah berkata, pihaknya juga perlu menilai kos efektif dari analisis kos manfaat hasil daripada projek terbabit sekiranya ia dilaksanakan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Kon Yeow berkata, sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang mungkin bina jambatan ketiga