Apa guna terus projek mega tapi rakyat kelaparan: Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sepatutnya menangguhkan dan meneliti semula perlaksanaan projek-projek mega dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.

Menurut beliau, tidak ada gunanya kerajaan kerajaan meneruskan projek mega sedangkan majoriti rakyat hidup dalam kesempitan.

“Parlimen ini harus beri tumpuan sepenuhnya untuk menuntut supaya RMK12 ini berikan tumpuan kepada bumiputera.

“Kalau perlu, tangguhkan projek-projek besar seperti projek lapangan terbang, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan teliti semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

“Apa faedah kita nak teruskan projek mega dalam keadaan orang kelaparan, menganggur dan pendidikan tidak bermutu yang ada sekarang. Tangguh projek-projek besar... apa guna teruskan projek kalau orang tidak cukup makan,” katanya ketika sesi perbahasan RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, tumpuan sebaliknya harus diberikan bagi meningkatkan mutu hidup rakyat yang terhimpit.

“Apa salahnya kalau kita tumpukan latihan, mutu kesihatan awam, pendidikan kepada golongan miskin desa dan bandar selain beri keutamaan kepada bumiputera.

“Kita tidak peduli peruntukan soal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal kontrak, yang mahu lahirkan ramai jutawan kerana ramai lagi, berjuta-juta bumiputera ini yang harus diberikan perhatian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat yang menetapkan hala tuju strategik bertemakan 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan'.

Turut diumumkan bahawa rangkaian rel dan jalan raya bersepadu menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar serta luar bandar akan dipertingkat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik adalah aspek yang sangat penting.

Antara projek-projek utama yang telah dilaksanakan, katanya, termasuk Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dan dijangka siap pada 2022.

Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang juga jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada 2023.