Kerajaan teliti pemberian pinjaman mudah atasi lonjakan harga ayam

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti cadangan pemberian kemudahan pinjaman mudah atau 'soft loan' bagi tempoh dua hingga tiga tahun kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagaimana hasrat yang dikemukakan oleh industri itu kepada kementeriannya bagi membantu mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi.

Menurutnya, langkah itu juga bagi menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport tanpa mengganggu harga ayam di pasaran.

"Kenaikan harga ayam berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya, kenaikan harga makanan ayam (dedak) iaitu jagung dan soya di mana 100 peratus diimport dari negara luar.

"Kementerian sentiasa mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk membantu penternak berdasarkan masalah yang mereka hadapi ini," katanya pada waktu pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) tentang perancangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menstabilkan harga ayam dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Memperincikan perkara itu, Nanta berkata, hasil daripada libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta keterlibatan bersama pihak industri seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pada 17 September lalu, kementerian telah berbincang beberapa kaedah terbaik berhubung perkara itu.

Katanya, kementerian itu juga menyambut baik pandangan yang diberikan dan akan meneliti perkara-perkara yang dicadangkan termasuk pemberian pinjaman mudah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Turut dibincangkan ialah kaedah-kaedah lain yang kementerian berpandangan boleh disesuaikan dengan keperluan semasa," katanya.