X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

'Tiada salah laku ketika saya tadbir Kedah'- Mukhriz

Mukhriz
A
A

ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tampil memperjelaskan isu pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara yang didedahkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa.

Mukhriz berkata, beliau percaya tiada unsur salah laku mahupun salah guna kuasa dalam urusniaga MBI ketika ia diterajui beliau.

Menurutnya, pemindahan wang itu dipercayai berkaitan pelaburan MBI dalam sebuah syarikat bioteknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser.

“Berdasarkan dokumen yang didedahkan Muhammad Sanusi, saya percaya ia berkaitan pelaburan terbabit. Syarikat ini berdaya maju dan ekuitinya dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi kerajaan Persekutuan selain turut menarik perhatian pelabur dari luar negara.

"Saya sama sekali tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi daripada keputusan MBI itu. Saya bersedia berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, sudah tentu berlaku aliran keluar masuk dana daripada MBI.

“Sebarang keputusan oleh MBI sudah semestinya mengambil kira kepentingan terbaik rakyat Kedah untuk jangka masa panjang. Secara keseluruhannya, pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk catat keuntungan,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, sekiranya hasil siasatan mendapati wujud perkara seumpama.

“Muhammad Sanusi harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa. Beliau sepatutnya terlebih dahulu serahkan dokumen terbabit kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan, berbanding membuat kenyataan tanpa usul periksa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz percaya kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi itu bertujuan mencemar nama baik dan imej beliau tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.

“Saya sifatkan sebarang kenyataan daripada Muhammad Sanusi bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi. Beliau harus lebih bijak dalam mengeluarkan kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana tindakannya membawa imej pentadbiran kerajaan negeri dalam apa jua hal dan keadaan,” katanya.

Tegas Mukhriz, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya sekiranya Muhammad Sanusi berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Dalam pada itu, Mukhriz turut membidas Muhammad Sanusi yang sering membuat kenyataan tidak konsisten apabila pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan secara langsung pada Selasa dan Rabu menyaksikan percanggahan fakta antara satu sama lain.

“Pada Selasa, beliau sebut wang itu dipindah ke Kanada tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang akhbar pada Rabu. Kesilapan atau salah kata begini bukanlah sesuatu yang asing bagi Muhammad Sanusi,” katanya sinis.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi mendedahkan terdapat pemindahan wang RM13 juta milik MBI Kedah ke luar negara. Seterusnya, beliau sekali lagi mendedahkan terdapat tiga dokumen berkaitan pemindahan wang terbabit ke akaun Barclays Bank pada tahun 2014, membabitkan empat transaksi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!