X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

'Beri sokongan, panduan kepada Sittah'

Zulkifli Mohamad al-Bakri. - Foto FB Zulkifli
A
A

SHAH ALAM - Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur yang kembali bertaubat perlu terus diberikan sokongan dan panduan agar terus istiqamah atas akidah yang benar.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar, 39, memerlukan sokongan pada masa ini khususnya daripada mereka yang mengenalinya.

"Membaca beberapa laporan akhbar hari ini, saya melafazkan Alhamdulillah dan syukur atas taubat Puan Masitah Ab Jalar daripada ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir.

"Sejujurnya, saya berbangga dengan kesudian beliau mengakui kekhilafannya. Tahniah atas usaha istitabah dan tindakan pantas serta berhemah yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

"Bagi yang mengenali beliau, berilah sokongan dan panduan supaya beliau terus istiqamah atas akidah yang benar. Semoga cahaya kebenaran Islam sentiasa menyuluh kehidupan kita," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Sittah Annur mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Isnin.

Beliau melafazkan taubat itu dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat di hadapan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Masitah turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan mengakui semua perbuatan yang menyalahi hukum agama Islam dan melanggar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

ARTIKEL BERKAITAN:Sittah Annur isytihar bertaubat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!