Guru besar direman kes tuntutan palsu RM1,568

Tertuduh diiring SPRM di mahkamah.
Tertuduh diiring SPRM di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang guru besar di sebuah sekolah di Port Dickson direman enam hari bermula pada Selasa bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1,568 dua tahun lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Syed Farid Syed Ali.

Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim manakala suspek diwakili peguam T Sailaja.

Menurut sumber, suspek pada penghujung tahun 2019, telah memperakukan pembayaran bagi program Majlis Sukan Negara, Majlis Perpisahan dan Majlis Hari Jadi di prasekolah tempatnya bertugas yang dipercayai tidak dilaksanakan.

Suspek telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 1.30 petang pada Isnin selepas hadir memberikan keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: