Tiga polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM10,000

Kesemua tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
Kesemua tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Vincent Yap, 54, yang berpangkat Sarjan dan dua lagi tertuduh berpangkat Koperal iaitu Mohd Khairum Yahya, 32, dan Zulkifli Halim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan didakwa telah secara rasuah menerima satu suapan iaitu wang tunai daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menukar seksyen kesalahan dilakukannya kepada lebih rendah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan di Pondok Polis Palong 12, Jempol pada 17 Oktober 2017.

Berikutan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada semua tertuduh.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang tidak diwakili peguam memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan perlu menanggung keluarga dan mempunyai komitmen lain.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada minggu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula 28 Oktober depan.