Akta 446: Bukan masa sesuai naik denda terhadap majikan

Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah menaikkan denda kepada golongan majikan yang gagal mematuhi Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) (Pindaan 2019) tidak sesuai dilaksanakan pada masa sekarang, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Jelasnya, ia berikutan kedudukan semasa ekonomi negara dengan krisis kekurangan tenaga kerja yang dihadapi banyak syarikat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebelum PKP pertama, jumlah pekerja asing mencarum Perkeso adalah sebanyak 1.8 juta, hari ini dalam masa setahun angka itu turun kepada 1.1 juta kerana negara betul-betul hadapi krisis kekurangan tenaga kerja.

“Kalau nak baik pulih ekonomi, yang penting kita perlu tingkatkan produktiviti dan untuk itu kita perlukan tenaga kerja, dan dalam keadaan seperti ini ia mungkin bukan masa sesuai untuk tingkatkan denda,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada masa ini, jika sabit kesalahan di bawah akta itu, majikan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000.

Menjawab soalan asal Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi), Saravanan berkata, sebanyak 940 kertas siasatan dibuka terhadap majikan dalam pelbagai sektor yang melanggar akta berkenaan bagi tempoh Jun 2020 hingga Ogos lepas.

“​​​​​Sebanyak 618 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti kegagalan memohon perakuan penginapan dan kegagalan memenuhi standard minimum penginapan seperti penyediaan almari, katil, tilam dan bantal kepada setiap pekerja, serta bilangan pekerja melebihi kapasiti maksimum,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: