Makcik Sitah beri saya pengajaran: Salahuddin

Salahuddin (kiri) menyerahkan baja NPK dan input racun kepada Sitah (tengah) pada program berkenaan.
Salahuddin (kiri) menyerahkan baja NPK dan input racun kepada Sitah (tengah) pada program berkenaan.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengakui belajar sesuatu daripada luahan pesawah Sitah Mat Lidin.

Sitah meluahkan kekecewaannya mengenai pemberian subsidi baja padi.

Menurut Salahuddin, kegigihan serta iltizam pesawah warga emas seperti Sitah memberikan semangat kepadanya untuk terus menjadi menteri yang lebih peka.

"Apa yang menjadi luahan hati makcik Sitah sedikit pun tidak mengecilkan hati serta menyentuh emosi saya, malah menjadikan saya menteri lebih peka dan bertindak cepat pada masa akan datang.

"Saya juga perlu merancang lebih jauh supaya pesawah macam makcik Sitah dapat segala keperluan yang diperlukan oleh mereka bagi menanam padi untuk kita semua," katanya selepas bertemu warga emas berkenaan pada Program Serahan Baja Tambahan NPK dan Racun, di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu Salahuddin ketika dalam ucapannya memohon maaf sekiranya kelewatan kementeriannya memberikan subsidi baja padi melibatkan baja NPK dan racun menyebabkan nenek kepada lapan cucu itu berasa susah hati.

"Saya minta maaf kalau makcik susah hati, janji tetap janji dan saya datang hari ini hantar bekalan dan tidak kira isu kurangkan subsidi kepada pesawah saya akan pertahankan dalam kabinet di mana bajet tahun hadapan saya akan minta belanjawan besar.

Salahuddin (kiri) bertemu Sitah (tengah) di sini, hari ini.
Salahuddin (kiri) bertemu Sitah (tengah) di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kepada makcik Sitah yang mewakili petani, saya ucapkan terima kasih atas peringatan dan dikhabarkan mereka ada demonstrasi, saya dahulu pun buat demonstrasi, terima kasih atas usaha makcik ini dan Insya-ALLAH ia memberi inspirasi kepada kementerian untuk memastikan pesawah yang merupakan benteng pertahanan kedua negara mendapat perkhidmatan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Sitah yang berumur sekitar 80-an mengucapkan terima kasih atas kesudian Salahuddin turun ke Jelapang Padi Seberang Perak bertemu dengannya dan menyampaikan dua lagi subsidi baja yang tidak mencukupi buat semua pesawah di kawasan berkenaan.

"Puas hati, seronok selesai masalah racun dan baja, walaupun sudah 25 hari racun tiada sebab nak beli tahu sajalah, jadi bila menteri datang senanglah hati.

"Cuma makcik tak tahulah dapat banyak mana hasil padi nanti sebab dah lewat sepatutnya 10 hari dan siap meracun tapi sekarang dah 25 hari, tapi apa pun terima kasih kepada menteri kerana datang selesaikan masalah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Makcik nak jumpa Salahuddin'

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lebih 100 pesawah Jelapang Padi Seberang Perak termasuk Sitah mengadakan demonstrasi mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyegerakan pemberian subsidi baja padi melibatkan baja NPK dan input racun yang belum diterima.