'Harap empat perkara diberi perhatian dalam RMK12'

Khaled Nordin
Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap beberapa perkara dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikannya berkesan dan inklusif, sekali gus 'menebus' beberapa kesilapan sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertama, kerajaan perlu memastikan adanya intervensi khusus menyeluruh dan berkesan bagi memastikan generasi tertinggal sama ada di bangku sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT) diberikan perhatian.

"Mereka yang sudah kehilangan hampir dua tahun pengajian mesti mendapat peluang atau diberikan program khas sepanjang empat tahun akan datang untuk mengejar kembali pendidikan mereka yang sudah jauh tertinggal.

"Ini selaras dengan Policy Enabler 1 berkaitan Pembangunan Bakat Masa Depan, aspek kritikal ini tidak boleh dikesampingkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pekara kedua ialah dalam konteks adaptasi teknologi dan pendigitalan, lonjakan harus dimulakan secara radikal dalam sektor perkhidmatan awam.

"Segala pelan pertumbuhan, inovasi dan pemfokusan terhadap aspek ekonomi baharu sangat bergantung kepada kecekapan dan kepantasan perkhidmatan awam," katanya.

Sementara ketiga, katanya, Malaysia mesti mengembalikan imej mesra pelabur dengan melakukan semakan semula dasar dan peraturan Malaysia My Second Home (MM2H).

"Ini mesti memudah dan menarik minat orang luar ke negara kita untuk bekerja, membina kehidupan dan tinggal di sini. Peraturan sedia ada tidak bersifat sedemikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkara keempat pula katanya, keseimbangan kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dilakukan bagi membolehkan satu lonjakan pembangunan yang rancak dan lancar.

"Kerajaan negeri harus diberikan kuasa dan mandat lebih besar, penting serta bermakna, bukan sekadar menurut sahaja pelan dan arahan kerajaan Persekutuan.

"Pembahagian kuasa dan tanggungjawab lebih seimbang ini membolehkan semua kerajaan negeri iaitu sama ada dari kerajaan atau negeri pembangkang, memeta hala tuju dan agenda pembangunan mereka dengan lebih strategik dan bersesuaian," katanya.