X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Perbelanjaan penyelidikan negara masih rendah

Dr Adham Baba
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Peratusan perbelanjaan pembabitan penyelidikan di Malaysia masih rendah iaitu 24.5 peratus berbanding dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diperuntukkan untuk aktiviti penyelidikan prapengkomersialan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 50 peratus dana disediakan kementerian menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030).

"Malaysia hanya membelanjakan 24.5 peratus untuk aktiviti melibatkan prototaip, perintis, peningkatan produk dan kekurangan pelaburan dalam aktiviti penyelidikan ekspertimental pra-pengkomersialan," katanya dalam ucapan sempena majlis pengumuman penerima Top Research Scientists Malaysia (TRSM) secara dalam talian pada Selasa.

Menurutnya, negara-negara yang berpaksikan inovasi mempunyai lebih daripada 40 peratus penyelidik dalam sektor industri.

"Namun di Malaysia, berdasarkan Institut Pangkalan Data Statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hanya 15.83 peratus penyelidik berada dalam sektor industri, manakala 79.2 peratus penyelidik berada di institusi pengajian tinggi," katanya.

Sehubungan itu, bagi mengatasi jurang tersebut, MOSTI sedang mengkaji mekanisma bersesuaian untuk mempertingkatkan peratusan penyelidik di sektor industri.

"Salah satu inisiatif sedang dijalankan oleh MOSTI adalah dengan menubuhkan satu platform Researcher Industry Scientific Exchange (RISE) yang membolehkan penempatan penyelidik dalam industri bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi untuk meningkatkan produktiviti," katanya.

Dr Adham berkata, saintis umpama jambatan yang menghubungkan pemahaman sains kepada rakyat bagi membolehkan pengaplikasian sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian.

"Mereka telah mengetengahkan pelbagai penemuan saintifik, menjana pengetahuan, mencipta peluang dan menterjemahkan penyelidikan mereka menjadi hasil berimpak tinggi yang dapat menyumbang kepada transformasi sosioekonomi negara," katanya.

Ujarnya, TRSM merupakan inisiatif Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi mengiktiraf saintis yang aktif dan cemerlang dalam Penyelidikan, Pembangunan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"TRSM juga merupakan pakar terkemuka dan telah memperoleh pelbagai pencapaian dalam bidang masing-masing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Ujar beliau, daripada 5,500 pakar yang didaftarkan di pangkalan data, Anugerah dan Pengiktirafan ASM sepanjang 10 tahun ini, 134 individu telah diiktiraf sebagai TRSM.

"Ini membuktikan bahawa kualiti amat diutamakan dalam memilih penerima pengiktirafan ini," katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 22 penerima TRSM daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan bidang kepakaran masing-masing disenaraikan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!