X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Kejayaan tewaskan Kelantan United bakar semangat Kedah

Pemain Kedah, Renan Da Silva Alves cuba melepasi asakan peman pasukan Kelantan United FC Alfusainey Gassama pada perlawanan TM Piala Malaysia Kedah FC bertemu Kelantan United FC di Stadium Darul Aman pada malam Isnin. - Foto Bernama
A
A

KEJAYAAN menewaskan Kelantan United FC dalam aksi Kumpulan C pada malam Isnin menjadi pembakar semangat dan meningkatkan keyakinan pemain Kedah Darul Aman FC untuk mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan selesa 3-0 itu adalah permulaan sangat baik yang diperoleh hasil persembahan bertenaga barisan pemainnya.

"Harap pemain dapat kekalkan prestasi terbaik mereka ini bagi perlawanan seterusnya bertemu Melaka United pada Khamis ini. Bertemu Melaka bukanlah mudah kerana mereka ada pemain yang hebat, namun kita ada kelebihan bermain di tempat sendiri.

“Apa yang perlu saya beri fokus ialah memastikan pemain kita lebih bersedia dan berada dalam keadaan terbaik sebelum pertemuan itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Kelantan United di Stadium Darul Aman di sini pada malam Selasa.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Aidil Sharin berkata, pasukannya berjaya menunjukkan corak permainan yang cemerlang walaupun dibarisi beberapa pemain muda.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor akur dengan kekuatan Kedah selaku naib juara Liga Super yang menewaskan pasukannya dengan tiga jaringan tanpa balas pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji persembahan anak buahnya yang tidak berputus asa dengan mengasak pasukan lawan menerusi beberapa percubaan berbahaya ke gawang pasukan tuan rumah bagi mencari gol.

“Saya positif dengan pasukan, kita ada lima perlawanan dan terdekat bertemu Negeri Sembilan, kami percaya dengan kekuatan kami, kami ada rancangan sendiri dan selepas ini pemain kembali cergas untuk memberi saingan dalam aksi seterusnya,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!