Polis kenal pasti identiti pemandu maut terperosok bawah treler

Kereta dipandu mangsa yang terperosok di bawah treler dalam kejadian kemalangan di Jalan Panchang Bedena, Sabak Bernam pada Selasa.
Kereta dipandu mangsa yang terperosok di bawah treler dalam kejadian kemalangan di Jalan Panchang Bedena, Sabak Bernam pada Selasa.
A
A
A
SABAK BERNAM - Polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang maut selepas kereta dipandunya terperosok di bawah treler di Jalan Panchang Bedena di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 21 tahun yang beralamat di Bagan Sungai Pulai di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila lori dari sebuah pusat timbang sawit membelok keluar ke kanan menghala ke Sungai Besar.

"Pada masa sama, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios dari arah Sungai Besar gagal membrek kenderaannya berikutan jarak terlalu dekat, lalu terlanggar bahagian sisi tengah kanan lori tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Agus Salim berkata, akibat kejadian itu, pemandu Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pihak bomba masih berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya melanggar sebuah treler membawa muatan sawit dan terperosok di bawah kenderaan berat itu dalam kejadian di Jalan Lama Panchang Bedena di sini pada pagi Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5 pagi.

Artikel Berkaitan: