Enam sekeluarga nyaris maut rumah terbakar

Sebuah rumah di Jalan Makmur, Pasir Panjang, Sabak Bernam yang terbakar pada awal pagi Selasa.
Sebuah rumah di Jalan Makmur, Pasir Panjang, Sabak Bernam yang terbakar pada awal pagi Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Enam sekeluarga dikejarkan ke hospital akibat melecur di beberapa bahagian badan dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Makmur, Pasir Panjang di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang dilaporkan cedera ringan ialah Jamri Manap, 41, dan Jurina Aziz, 46.

Turut cedera ringan ialah anak-anak mereka iaitu Mohd Raziq Azrai Jamri, 19, Norhidayah Jamri, 17, Norain Jamalin Jamri, 12, dan Mohd Zazil Hidayat Jamri, 8.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 pagi.

"Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung setingkat bangunan kelas C berkeluasan 20 X 40 kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norazam berkata, selain rumah, sebuah kereta jenis Proton Wira turut rentung dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi dengan anggaran kemusnahan rumah sebanyak 90 peratus, manakala Proton Wira pula terbakar sebanyak 60 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang menggunakan jentera EMRS.

"Punca sebenar kejadian dan punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan," jelas beliau.