Hari sibuk buat rakyat Malaysia

Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh diikuti menerusi siaran langsung melalui telefon pintar.- Foto Bernama
Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh diikuti menerusi siaran langsung melalui telefon pintar.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Semalam merupakan antara hari yang cukup 'sibuk' bagi rakyat negara ini.

Selain kehangatan Sidang Dewan Rakyat, tumpuan tentunya terarah kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

RMK12 yang bertemakan Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan itu mengandungi sembilan fokus, dengan fokus utamanya adalah aspek pemulihan ekonomi untuk membolehkan semua pihak menikmati taraf hidup yang lebih baik.

Antara intipati yang mencuri perhatian ialah, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion bagi RMK12 yang merupakan jumlah terbesar yang pernah diusulkan.

Berbanding dengan RMK11 sebelum ini, yang merangkumi peruntukan sebanyak RM260 bilion dengan kira-kira RM248 bilion telah dibelanjakan.

Perdana Menteri juga menyatakan dengan beberapa pembaharuan yang dilaksanakan menerusi pelan pembangunan menyeluruh RMK12, Malaysia dijangka akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

Selain itu, khabar paling gembira buat rakyat negara ini semalam, tentunya kebenaran aktiviti rentas negeri.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbarnya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurut bekas Perdana Menteri itu, aktiviti rentas negeri dijangka boleh dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan Oktober ini.

Meskipun rentas negeri dibenarkan, rakyat diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi golongan ibu yang menunggu masa untuk melahirkan zuriat, jaminan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk memberi kebenaran kepada suami menemani isteri mereka yang akan melahirkan anak di wad bersalin hospital pastinya memberikan kelegaan khususnya bagi mereka yang akan menyambut kedatangan orang baharu.

Walaupun kebenaran itu bersyarat, keprihatinan Khairy tentang isu itu disambut dengan rasa syukur, khususnya buat bakal ibu dan bapa.

Satu lagi khabar gembira yang diterima adalah rekod kes baharu Covid-19 yang terus mencatatkan penurunan.

Pada Isnin, kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 10,959 kes, berbanding 13,104 kes pada Ahad dan 13, 899 kes pada Sabtu.

Perkembangan positif itu sedikit sebanyak memberikan sinar harapan, negara kita semakin menghampiri 'kemenangan' dalam menangani Covid-19.

Selain itu, khabar tentang pengisytiharan taubat ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) iaitu Masitah atau turut dikenali sebagai Sittah Annur, 39, pastinya memberikan satu kelegaan, khususnya buat umat Islam.

Pada majlis pengisytiharan Istitabah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor itu, Sittah turut mengakui kesilapannya dan kembali bertaubat.

Semoga kesilapan sebegitu tidak lagi berulang dan umat Islam khususnya, lebih berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng daripada landasan Islam yang sebenar.