X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Penduduk desak kerajaan Selangor warta jalan rizab kampung

Penduduk berhimpun di depan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada Isnin.
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 10 penduduk di Kampung Bagan Sungai Yu di sini berhimpun secara aman di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor di sini bagi menuntut kerajaan negeri mewartakan rizab jalan kampung berkenaan.

Perhimpunan pada jam 10 pagi itu berlangsung selama kira-kira lima minit sebelum kumpulan terbabit beredar selepas kehadiran polis.

Pengerusi Jawatankuasa Mempertahankan Kampung Nelayan Bagan Sungai Yu, Tiu Chee Hong berkata, perhimpunan itu diadakan bagi mendesak kerajaan negeri Selangor mewartakan jalan kampung itu sebagai rizab kerajaan yang tidak boleh diambil oleh mana-mana pihak atau individu berkepentingan.

"Kita mendesak jalan utama kampung ini diwartakan sebagai rizab jalan memandangkan ia telah digunakan sejak dua atau tiga generasi terawal di bagan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Chee Hong berkata, surat desakan berhubung perkara itu juga telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Kami sudah menghantar surat desakan kepada kepimpinan kerajaan negeri dan kepimpinan masyarakat serta berharap ada tindakan dibuat bagi menanganinya," katanya

Jelas Chee Hong, rizab jalan sepanjang dua kilometer yang dituntut penduduk itu bermula dari Pekan Pasir Penambang ke Bagan Sungai Yu.

"Rizab jalan ini penting untuk kegunaan penduduk yang berulang-alik menghantar anak ke sekolah dan pelbagai urusan harian lain," katanya.

Seorang penduduk, Tiu Teck Huat, 40 berkata, Bagan Sungai Yu ketika ini amat popular dengan kehadiran pelancong dan bimbang jika tiada pewartaan rizab jalan menyebabkan sektor pelancongan itu turut malap.

"Selain bekerja sebagai nelayan, rata--rata penduduk di sini juga giat membangunkan industri pelancongan di sini.

"Bayangkan jika ada pihak yang menuntut tanah rizab ini dan tidak membenarkan jalan ini dilalui, sudah tentu ini akan menyukarkan pelancong hendak keluar masuk ke kampung ini," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Amran Omar, 49 meminta kerajaan negeri segera mewartakan rizab jalan terbabit untuk kepentingan generasi masa depan.

Katanya, pihaknya bimbang jika tanah rizab itu digunakan dengan sewenang-wenangnya pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Jalan utama ini hak milik kerajaan kerana terletak kira-kira 50 meter dari sungai dan ini menjadi laluan utama kepada penduduk dan pelancong," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!