Piala Sudirman: Jangan ambil mudah Mesir

Pang Ron dan Yee See mencipta kejutan menyumbang mata pertama Malaysia menerusi acara beregu campuran.
Pang Ron dan Yee See mencipta kejutan menyumbang mata pertama Malaysia menerusi acara beregu campuran.
A
A
A

SKUAD badminton negara diingatkan tidak mengambil mudah pertemuan menentang Mesir dalam aksi kedua Kumpulan D Piala Sudirman di Energia Arena 2, Vantaa, Finland pada Selasa.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata, Malaysia tidak harus berada dalam 'zon selesa' biarpun berjaya melepasi halangan England dalam aksi pembukaan pada Isnin.

“Atas kertas, kita sememangnya merupakan pasukan pilihan menentang Mesir, namun kita tidak boleh mengambil mudah cabaran Mesir walaupun mereka tewas 0-5 kepada Jepun.

“Walaupun kita berjaya menewaskan England, namun ia bukan satu kemenangan mudah. Apa pun ia peluang untuk setiap pemain belajar memperbaiki corak permainan masing-masing,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Terdahulu, Malaysia menyingkap tirai kejohanan berpasukan campuran itu dengan langkah kanan apabila menewaskan England 3-2.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan yang menduduki ranking ketujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren Smith dengan kemenangan 21-19, 21-18.

Jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tidak menghadapi masalah untuk menyumbang mata kedua Malaysia apabila menewaskan Johnnie Torjussen 21-4, 21-15.

Aaron dan gandingannya, Soh Wooi Yik mengesahkan mata ketiga Malaysia selepas melakar kemenangan 22-20, 21-18 ke atas Ben Lane-Sean Vendy.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, perseorangan wanita, S Kisona gagal menepati ramalan awal untuk meraih mata buat Malaysia apabila tewas 16-21, 20-22 kepada Abigail Holden.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah pula tampil dengan semangat juang tinggi sebelum tumbang di tangan pasangan yang menghuni ranking ke-14 dunia, Chloe Birch-Lauren Smith 18-21, 21-17, 10-21.