X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

KDA mudah atasi Kelantan United di Alor Setar

Tchetche Kipre (dua kanan) meraikan jaringannya dengan cara tersendiri selepas membantu KDA FC mengatasi KU FC di Stadium Darul Aman pada Isnin. - Foto KDA FC
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) seperti dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Kelantan United, 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Tampil dengan reputasi pasukan pilihan, anak buah Aidil Sharin Sahak terlebih dulu mendahului pelawat menerusi Mohd Syazwan Zainon yang memanfaatkan hantaran kapten Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13.

KDA sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan, namun percubaan Kpah Sherman pada minit ke-25 tersasar walaupun berjaya memperdayakan beberapa pertahanan Kijang Hijau.

Kelantan United juga berpeluang menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama, namun percubaan Masashi Motoyama dari luar kotak penalti pada minit ke-41 sedikit tersasar.

KDA yang bijaksana memanfaatkan peluang kembali di depan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Tchetche Kipre yang menerima hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-47.

Pelawat yang ketinggalan kembali memperkemaskan corak permainan apabila melakukan pertukaran dengan

memasukkan Fazrul Amir Md Zaman mengantikan Amirul Syafiq Che Soh untuk memberikan nafas baharu di bahagian tengah.

Anak buah Nazrulerwan Makmor hampir merapatkan jurang pada minit-55 menerusi Gassama, namun tandukannya sekadar singgah di palang gol.

Tuan rumah yang sekali sekala mengancam kubu lawan sekali lagi di depan apabila Syazwan menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-57 selepas memanfaatkan hantaran Kipre.

Pelawat kemudiannya membuat perubahan formasinya pada minit ke-61 dengan mengeluarkan dua penyerangnya, Motoyama dan Asraff Aliffuddin Yasin bagi memasukkan Mohd Hakim Ismail dan Shafizi Iqmal Khirudin.

Kelab Liga Premier tersebut berusaha mengimbangi corak permainan tuan rumah yang banyak melakukan hantaran pantas untuk menyerang kubu pertahanannya.

KDA juga turut membuat pertukaran apabila memasukkan Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan Azammudin Akil dan mengeluarkan Aiman Afif Md Afizul dan Syazwan minit ke-70.

Pelawat pula membuat pertukaran di bahagian serangannya dengan membawa masuk Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dan mengeluarkan Syahrul Azwari Ibrahim pada minit ke-72 dalam usaha mendapatkan gol.

Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak kemudiannya turut memasukkan tenaga baru ke dalam pasukannya iaitu Rabih Ataya, Asnan Ahmad, Fairuz Zakaria dan mengeluarkan Baddrol, Kpah dan Ariff Farhan Md Isa pada minit ke-82 dalam usaha menyerap tekanan pasukan lawan.

Usaha Kelantan United untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol di Alor Setar tidak kesampaian apabila keputusan 3-0 kekal sehingga kes wisel penamat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!