Malaysia Airlines naik taraf penerbangan semperna Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA Airlines akan menambah dan menaik taraf penerbangannya bagi menampung keperluan perjalanan bersempena Aidilfitri bermula 25 Mei hingga 16 Jun 2019.

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata penumpang boleh mendapatkan 32 penerbangan tambahan antara Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kota Bharu, Kuching, Labuan, Miri, Sibu, Sandakan, Surabaya, Kuala Terengganu dan Tawau.

"Malaysia Airlines juga akan menaik taraf 10 penerbangan domestik daripada B737-800 kepada A330-300 dan A330-200s untuk menampung penumpang yang berlepas dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Kuching, Medan dan Pulau Pinang,” katanya.

Ketua Pegawai Hasil Kumpulan, Ignatius Ong menggesa mereka yang merancang pulang ke kampung halaman masing-masing membeli tiket lebih awal memandangkan lebih ramai orang dijangka berbuat demikian bersempena musim perayaan.

"Tambang adalah termasuk bagasi, makanan dan tiada caj tambahan kad kredit jika membeli secara dalam talian. Penumpang juga akan menikmati perkhidmatan premium dan keselesaan terbang bersama Malaysia Airlines,” katanya.

Syarikat penerbangan itu juga memperkenalkan tiga penerbangan mingguan tambahan dari Kuala Lumpur ke Melbourne dari 1 Julai hingga 30 Sept, 2019 menggunakan pesawat A330-300.- Bernama

Artikel Berkaitan: