Fokus RMK12 ke arah rancakkan pertumbuhan ekonomi: MyHSR Corp

Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fokus kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh pemangkin pertumbuhan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dilihat mampu menjana lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik dalam jangka lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, kerajaan membuat perancangan rapi apabila memberi perhatian kepada usaha meningkatkan dan menaik taraf infrastruktur.

Beliau berkata, ia termasuk memperbaiki dan membina rangkaian rel dan jalan raya yang bersepadu untuk menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar.

“Ini akan meningkatkan kesalinghubungan pertama dan akhir serta merangsangkan daya saing industri, bukan sahaja memenuhi tuntutan semasa malah menarik pelaburan baharu dan inovasi untuk mentransformasi kepada industri masa depan dengan pertumbuhan tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai RMK 12 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohd Nur Ismal berkata, MyHSR Corp optimis jika perancangan tersebut dilaksanakan dengan baik dan dipantau ketat, penambahbaikan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam akan mampu membantu Malaysia membina ekosistem pelaburan yang lebih baik dan berdaya saing.

Ini sekali gus menyumbang ke arah mencapai pembangunan ekonomi mampan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, katanya.

Beliau berkata, strategi mengutamakan projek infrastruktur penting untuk kesejahteraan rakyat sememangnya amat diperlukan bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara memandangkan kesan gandaan yang tinggi adalah merangkumi rantaian bekalan yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Seperti bukti di negara maju, Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan Jepun, serta negara jiran, projek infrastruktur berteraskan sistem pengangkutan bukan sahaja mampu menjana ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan sederhana, malah pelbagai kesan pertumbuhan ekonomi di kawasan persekitaran.

“Projek-projek infrastruktur berteknologi tinggi seperti rel juga dapat menyumbang kepada matlamat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau demi memelihara kelestarian alam sekitar kita seperti yang diaspirasikan semua,” katanya. - Bernama