RMK12 pastikan Sabah kekal dalam pembangunan arus perdana negara

Hajiji Mohd Noor
Hajiji Mohd Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memastikan Sabah kekal dalam pembangunan arus perdana negara, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, perkara ini dapat dilihat melalui jaminan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa Sabah, Sarawak dan negeri lain yang kurang maju akan menerima kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan di bawah RMK 12.

Ketua Menteri itu berkata, Ismail Sabri, yang membentangkan RMK 12 pada Isnin, 'mengotakan apa yang dijanjikan' apabila Sabah diberikan tumpuan dalam program pembangunan lima tahun negara itu seperti dinyatakan beliau semasa sambutan Hari Malaysia baru-baru ini di sini.

"Semasa sambutan Hari Malaysia di sini, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa semua isu berkaitan Sabah dan Sarawak terutama dari segi pembangunan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diberi perhatian khusus.

"Kami gembira Perdana Menteri mengotakan janjinya dengan menggariskan pembangunan di Sabah, antara enam negeri lain di negara ini, di bawah sembilan bidang tumpuan RMK12. Kami juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memberikan garis masa untuk menyelesaikan semua isu dalam MA63," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Hajiji juga berkata, Sabah akan mendapat manfaat daripada peruntukan RM3.1 bilion di bawah program Jaringan Digital Nasional (Jendela) untuk menaik taraf dan membina menara telekomunikasi baharu ketika negara bergerak ke arah penembusan Internet 4G dan 5G yang lebih besar.

“Sabah tidak sabar menantikan program Jendela kerana rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman amat memerlukan ketersambungan digital yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah meningkatkan keselamatan terutama di Sabah seperti digariskan di bawah Fokus Keempat RMK12 yang akan menyaksikan kem tentera baharu dibina di Kota Belud dan Felda Sahabat, Lahad Datu selain Kem Batalion Pasukan Gerakan Am di Beluran.

Artikel Berkaitan:

Hajiji berkata, penaiktarafan grid kuasa elektrik Timur-Barat Sabah serta pembinaan loji jana kuasa baharu akan meningkatkan bekalan di negeri itu dan meskipun Grid Sambungan Selatan tidak disebut, kerajaan negeri berharap cadangan itu diluluskan kerana ia merupakan projek utama bagi Sabah.

“Kami juga gembira pembinaan pos kawalan kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan (CIQS) yang baharu di sempadan Malaysia-Indonesia akan dilakukan dalam RMK12,” katanya. - Bernama