X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Piala Sudirman: Malaysia lepasi ranjau England

Zii Jia Foto: AFP
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD Piala Sudirman negara menyingkap tirai peringkat kumpulan D kejuaraan berpasukan tersebut dengan langkah kanan apabila menewaskan England 3-2 dalam aksi di Energia Arena 2, Vantaa, Finland pada Isnin.

Mata pertama skuad negara dihadiahkan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See apabila mengejutkan cabaran gandingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang juga pasangan pilihan Marcus Ellis-Lauren Smith.

Pasangan ranking ke-27 dunia itu menewaskan lawan mereka yang jauh berpengalaman di ranking ketujuh dunia dengan kemenangan 21-19, 21-18 dalam tempoh 48 minit.

Kemenangan itu ternyata menyuntik semangat pemain perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia yang meneruskan momentum positif apabila menewaskan Johnnie Torjussen untuk mata kedua Malaysia.

Zii Jia yang tampil ke kejuaraan dengan reputasi juara Seluruh England tidak berdepan masalah apabila menewaskan lawannya yang berusia 22 tahun berstatus ranking ke-202 dunia dengan 21-4, 21-15 dalam masa 28 minit.

Biarpun begitu hasrat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melabuhkan kempen hari pertama skuad negara lebih awal dengan noktah cemerlang tidak kesampaian apabila berdepan tentangan sengit daripada gandingan Ben Lane-Sean Vendy.

Beregu lelaki negara yang berkedudukan ranking kelapan dunia itu menang set pertama 22-20 setelah saling mengejar mata sebelum menang 21-18 pada set kedua sekaligus mengenepikan cabaran pasangan Olimpik Tokyo 2020 yang berkedudukan ranking ke-19 tersebut dalam masa 40 minit.

Sementara itu, S Kisona terpaksa akur pengalaman Abigail Holden apabila dijinakkan dalam acara perseorangan wanita setelah pemain ranking 53 dunia tersebut tewas 21-16, 22-20 kepada pemain berstatus 176 dunia berkenaan dalam tempoh 43 minit.

Bagi pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berkedudukan ranking ke-19 dunia pula tampil semangat juang tinggi apabila mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum mengalah kepada pasangan nombor 14 dunia, Chloe Birch-Lauren Smith 21-18, 17-21, 21-10.

Zii Jia dan rakan-rakan akan meneruskan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Mesir pada Selasa sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang pasukan pilihan Jepun pada Khamis.

Sementara itu, Jepun melaungkan amaran awal apabila membelasah Mesir 5-0 dalam satu lagi aksi kumpulan D di Energia Arena 2.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!