Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah sentimen pasaran yang kukuh dan peningkatan harga minyak.
Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah sentimen pasaran yang kukuh dan peningkatan harga minyak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Isnin di tengah-tengah sentimen pasaran yang kukuh dan peningkatan harga minyak.

Pada jam 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1865/1885 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1865/1890 pada Jumaat minggu lepas.

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, meskipun prospek dolar AS yang kukuh, ringgit dilihat mendapat manfaat daripada sentimen positif daripada pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan peningkatan harga minyak mentah.

"Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 4.18 hingga 4.20 berbanding dolar AS apabila indeks mata wang AS itu diunjur kekal di atas paras 93.0 di tengah-tengah persekitaran pengelakan risiko ketika ini.

"Dari segi luaran, unit tempatan mungkin dipengaruhi oleh kemajuan rundingan siling hutang Amerika Syarikat (AS) dan situasi lebihan hutang gergasi hartanah China, Evergrande,” kata bank pelaburan itu.

Hari ini, harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 1.25 peratus kepada AS$79.07 setong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin membentangkan RMK12 yang disasarkan untuk memulihkan momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang ketika negara berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

RMK12 yang mengandungi pelbagai inisiatif berteraskan kepada sembilan fokus utama iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan pemangkin pertumbuhan, menambah baik kesejahteraaan keluarga Malaysia, memperkukuh keselamatan awam, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat kepada 3.0915/0932 berbanding dolar Singapura daripada 3.0981/1004 pada Jumaat dan menokok berbanding euro kepada 4.8965/8989 daripada 4.9120/9150 sebelumnya.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7737/7758 daripada 3.7925/7951 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7338/7366 daripada 5.7359/7393. - Bernama