Bekas pengurus perhubungan bank didakwa pecah amanah

Bekas pengurus perhubungan di sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pada Isnin atas pertuduhan pecah amanah wang milik seorang warga emas untuk membeli tujuh jongkong emas tanpa pengetahuan lelaki itu, tiga minggu lepas. - Gambar hiasan
Bekas pengurus perhubungan di sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pada Isnin atas pertuduhan pecah amanah wang milik seorang warga emas untuk membeli tujuh jongkong emas tanpa pengetahuan lelaki itu, tiga minggu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengurus perhubungan di sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM411,442.17 milik seorang warga emas untuk membeli tujuh jongkong emas tanpa pengetahuan lelaki itu, tiga minggu lepas.

Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mohd Saibulrijal, yang ketika itu memegang jawatan sebagai pengurus perhubungan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran deposit simpanan tetap berjumlah RM411,442.17 milik seorang pelanggan Choo Lai Hock, 63 dan memindahkannya ke dalam akaun semasa milik pelanggan sama.

Tertuduh kemudian telah membuat pembelian tujuh jongkong emas seberat 1.5 kilogram bernilai RM376,110.72 tanpa pengetahuan dan kebenaran pelanggan itu untuk kegunaan tertuduh sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di pusat beli belah di Bangsar, Brickfields, di sini pada 6 September lepas antara 8.52 pagi sehingga 4.50 petang mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi. - Bernama

Artikel Berkaitan: