X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Guru kelas bimbingan rugi RM57,850 ditipu 'pegawai bank'

Seorang guru kelas bimbingan tambahan di sebuah institusi swasta kerugian RM57,850 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai bank. -Gambar kecil: Mohd Mahidisham
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang guru kelas bimbingan tambahan di sebuah institusi swasta kerugian RM57,850 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, lelaki berusia 57 tahun itu mendakwa telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan pengesahan tentang pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800 pada 22 September lalu.

"Mangsa telah menafikan membuat pembelian tersebut dan telah menghubungi 'pegawai bank' melalui satu nombor telefon yang diberikan dalam mesej tersebut," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohd Mahidisham berkata, 'pegawai bank' itu telah meminta pengadu untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan kod keselamatan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepadanya.

"Mangsa menuruti arahan daripada ‘pegawai bank’ tersebut untuk tujuan siasatan lanjut oleh bank," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada Ahad setelah menyedari dirinya ditipu.

"Terdapat transaksi pindahan wang dari akaun miliknya kepada tiga akaun pihak ketiga dan juga pindahan kepada akaun e-wallet Touch 'n Go.

"Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Mohd Mahidisham berkata, orang ramai perlu sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima SMS daripada pihak yang mendakwa dari bank.

"Tindakan menyalurkan maklumat perbankan dan kod keselamatan TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!