RMK12: Peruntukan RM400 bilion jumlah terbesar pernah diusulkan

Mustapa ditemui dalam sidang media berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Mustapa ditemui dalam sidang media berkenaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, merupakan jumlah terbesar pernah diusulkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, RMK11 sebelum ini merangkumi peruntukan sebanyak RM260 bilion dengan kira-kira RM248 bilion telah dibelanjakan.

“Justeru, dari segi peruntukan (yang diusulkan, jumlahnya) memang besar. Kebanyakan daripada jumlah itu akan digunakan untuk (perbelanjaan) projek-projek sambungan.

“Kita turut memasukkan beberapa perkara dalam pembangunan itu, termasuk bagi membantu memulihkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji.

“Oleh itu, sebahagian daripada RM400 bilion itu adalah untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh beberapa agensi kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, pada Isnin.

Beliau mengulas RMK12 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Mengulas selanjutnya, Mustapa menjelaskan, kerajaan memberi jaminan kepada Felda untuk menerbitkan sukuk sebanyak RM9.9 bilion pada tahun lalu dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.2 bilion telah diterbitkan.

Menurutnya, baki sukuk tersebut akan diterbitkan berdasarkan keperluan semasa dan penerbitannya adalah bagi menyelesaikan hutang dan usaha mengambil alih saham-saham FG

Artikel Berkaitan:

Kos hibah bagi sukuk tersebut akan dibayar oleh Felda dan bayaran balik pokok akan diselesaikan oleh kerajaan, katanya.

"Felda sudah berjaya tetapi kita berasakan dengan pelaburan besar kerajaan untuk memajukan Felda, ia perlu mencapai kejayaan lebih besar lagi.

"Oleh itu, kita berpendapat, satu kaedah baharu perlu ada untuk memajukan Felda yang masih mempunyai aset seperti kawasan, tanah-tanah dan lot komersial yang belum dibangunkan. Kita mahu melihat Felda dapat ditransformasikan supaya mampu menjadi contoh," katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua setiausaha semua kementerian dalam masa dua minggu lagi bagi memberi penekanan mengenai pelaksanaan RMK12.

Beliau juga menyifatkan pelan RMK12 yang dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu sebagai rancangan paling sukar kerana terpaksa berdepan cabaran ditunda sebanyak empat kali berikutan pandemik Covid-19.

"Setiap perenggan RMK12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri hari ini memerlukan banyak tindakan. Ini termasuk menginstitusikan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pelan pemulihan Felda dan membasmi kemiskinan tegar.

"EPU akan menentukan (kementerian) yang akan melaksanakan setiap perancangan yang telah ditetapkan," kata beliau.

Mengulas pendekatan di bawah model perkongsian awam swasta atau ‘public-private partnership (PPP) 3.0, Mustapa berharap ini dapat menggerakkan semula dana pembiayaan projek-projek tertentu kerajaan bagi mengelak kerajaan mengalami bebanan kewangan.

"Pada pertengahan tahun depan, kerajaan akan mengumumkan projek-projek infrastruktur yang akan dilaksanakan melalui kaedah baharu menerusi permohonan untuk cadangan (proses terbuka yang telus) atau bidaan daripada pihak swasta," katanya.

Selain itu, Mustapa juga menegaskan RMK12 selama lima tahun itu akan memberi penekanan terhadap aspek kemampanan ekonomi hijau yang sejajar dengan hasrat untuk mencapai matlamat makmur, inklusif dan mampan. - Bernama