Pasaran getah ditutup kukuh

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASARAN getah Malaysia ditutup kukuh pada Isnin, disokong prestasi menggalakkan pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan harga minyak menghampiri paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

“Bagaimanapun, penggiat pasaran akan memantau perkembangan dasar fiskal Amerika Syarikat untuk petunjuk yang selanjutnya,” kata peniaga dan menurutnya Dewan Perwakilan dijadualkan mengundi rang undang-undang infrastruktur bernilai AS$1 trilion pada minggu ini

Setakat ini, penanda aras global minyak mentah Brent menokok 1.40 peratus kepada AS$79.18 setong.

Peniaga berkata, harga minyak meningkat untuk hari kelima berturut-turut pada Isnin dengan Brent berharga AS$80 setong di tengah-tengah kebimbangan terhadap bekalan kerana sebahagian negara menyaksikan kenaikan permintaan berikutan keadaan pandemik yang semakin reda.

Sementara itu, beliau berkata, niaga hadapan getah Jepun menokok hari ini dengan harapan wujudnya rangsangan fiskal yang seterusnya selepas Perdana Menteri baharu dipilih meskipun pelabur kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan mengenai krisis hutang Evergrande yang memberi kesan kepada pasaran lebih meluas dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 17 sen kepada 674 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah satu sen kepada 493 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 pada 675 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 496 sen sekilogram. - Bernama

Artikel Berkaitan: