Pahang gariskan 21 hala tuju pembangunan daerah Raub

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

RAUB - Kerajaan negeri menggariskan 21 hala tuju bagi pembangunan daerah Raub sehingga tahun 2035 dalam Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Raub, 2035 (Penggantian).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 130 projek dan inisiatif turut dicadang untuk dibangunkan dalam tiga fasa perancangan dengan 23 Projek Quick Win, 15 Projek Berimpak Tinggi dan 92 Projek Sokongan menjelang 2035.

Menurutnya, kerajaan negeri sememangnya memberikan komitmen tinggi bagi menyediaan perancangan pemajuan di seluruh Pahang.

"Sehingga kini dua Rancangan Tempatan Daerah Penggantian telah berjaya diwartakan iaitu Kuantan dan Cameron Highlands.

"Penggantian Rancangan Tempatan Daerah Raub memberi peluang pada Majlis Daerah Raub (MDR) untuk menggubal hala tuju perancangan baharu bagi mencapai status Majlis Perbandaran pada masa hadapan," katanya dalam ucapan majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam Draf RT Raub di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Ketua Pengarah PlanMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dr. Shamsaini Shamsuddin dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Raub turut memiliki tarikan pelancongan tanah tinggi iaitu Bukit Fraser yang terkenal sebagai Little England serta kemudahan perhubungan selain biodiversitinya.

“Usaha membangunkan kemudahan Central Spine (CSR) pakej Raub-Bentong sepanjang 50 kilometer (km) mampu meningkatkan lagi tahap aksesibiliti dan sistem perhubungan kawasan Raub dengan kawasan-kawasan lain di sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

"RT Daerah Raub merupakan salah satu bentuk dokumen perundangan bertulis yang akan dijadikan panduan bagi kawalan perancangan di Semenanjung Malaysia," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program ini telah bermula pada 22 September lalu dan akan berakhir pada 21 Oktober 2021.

"Dalam tempoh sebulan ini, orang ramai boleh memuat turun laporan dan borang maklum balas secara dalam talian.

“Tujuan utama program ini ialah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk Raub untuk menyemak, meneliti dan memberi maklum balas ke atas kandungan laporan draft yang telah disediakan," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy turut menyarankan semua pihak yang ingin memberi pandangan dan cadangan agar mengemukakan pandangan dan cadangan tersebut kepada MDR dalam tempoh ditentukan.

Jelasnya, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sedang dalam proses penyediaan Rancangan Kawasan Khas Pemeliharaan dan Pelancongan Bukit Fraser, Raub Pahang yang dijadualkan bermula tahun 2022.

“Dengan adanya Rancangan Kawalan Khas ini, ia akan saling-melengkapi kepada Rancangan Tempatan Daerah Raub seterusnya dapat dikemas kini lagi aspek memajukan daerah ini secara keseluruhannya,” jelasnya.