Permulaan baik buat Speedy Tigers

Pemain-pemain Speedy Tigers bersama pemain-pemain Old Georgians selepas perlawanan persahabatan Siri Jelajah UK pada Ahad.
Pemain-pemain Speedy Tigers bersama pemain-pemain Old Georgians selepas perlawanan persahabatan Siri Jelajah UK pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI The Speedy Tigers, Arul Selvaraj mengakui berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya ketika melakar keputusan seri 2-2 menentang Old Georgians dalam perlawanan persahabatan pertama Siri Jelajah United Kingdom (UK) di Kolej St Georges, pada malam Isnin.

Malah menurut Arul, pemain negara telah memberikan aksi terbaik walaupun hampir empat setengah bulan tanpa sebarang perlawanan kompetitif dan latihan intensif berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk pemain-pemain mendapatkan semula feel dalam permainan masing-masing berikutan kekangan akibat pandemik Covid-19.

"Namun saya amat bangga hari ini apabila semua pemain-pemain yang berbekalkan sesi latihan di tanah air sebelum ini tampil memberikan segala yang terbaik menentang Old Georgians.

Lawan mendapat lima pukulan sudut penalti berbanding kami yang hanya mendapat dua pukulan sudut penalti.

"Biarpun berstatus kelab, namun Old Georgians bukan kelab biasa-biasa apabila mengunakan khidmat 10 hingga 11 pemain skuad Great Britain, jadi kelab ini merupakan lawan yang berkualiti untuk kita dalam memperbaiki kemahiran selain match fitness dan pengalaman,” kata Arul.

Pada perlawanan itu, gol The Speedy Tigers dijaringkan Najib Hassan pada minit ke-13' dan Shahril Saabah (41') sebelum lawan bangkit mengikat kedudukan dengan dua gol pada minit ke-44 dan 58.

Sementara itu, menurut pemain kebangsaan, Faiz Helmi Jali, ini merupakan perlawanan pendedahan yang baik apatah lagi menentang kelab yang dibarisi dalam kalangan pemain berkualiti.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya biarpun berakhir dengan keputusan seri, namun bagi saya masih banyak perkara yang perlu kami semua improve lagi apatah lagi ini merupakan perlawanan pertama bersama selepas hampir empat bulan kemarau perlawanan.

"Sesuatu yang positif dalam perlawanan ini kami dapat membentuk dan memantapkan semula gandingan dalam kalangan kami sebelum mengharungi perlawanan seterusnya.

“Perlawanan persahabatan ini satu pendedahan yang bagus buat kami iaitu bertemu kelab terlebih dahulu sebelum bertemu Ireland bagi perlawanan ujian,” katanya.

The Speedy Tigers akan menentang juara bertahan Liga Hoki England, Surbiton HC pada awal pagi Rabu sebelum meneruskan menentang Hampstead & Westminster HC di Kelab Rekreasi Paddington pada Khamis diikuti Beeston HC di Pusat Hoki Nottingham pada 2 Oktober.

Anak buah Arul Selvaraj kemudian akan meneruskan siri jelajah itu dengan dua aksi ujian menentang Ireland di Lisnagarvey HC Belfast pada 5 dan 6 Oktober sebelum berdepan Wales di Pusat Hoki Wales dan Reading HC (9 dan 12 Oktober) dan Perancis di Pusat Hoki Wales (15 dan 18 Oktober).