Pimpinan PH perlu hormati kedudukan Tun M: Saifuddin

Saifuddin (lima dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada majlis itu.
Saifuddin (lima dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada majlis itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution meminta semua pucuk pimpinan PH menghormati keputusan yang telah dipersetujui berhubung kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya lagi, ini kerana semua parti dalam gabungan PH telah membuat persetujuan bersama dipanggil konsensus mengenai perkara itu.

“Saya fikir apa pun pandangan yang diberikan (pucuk pimpinan PH), kita tetap harus berpegang kepada keputusan yang kita sepakat bersama.

“Tentang kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, posisi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga berkaitan dengan rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tempat sebagai Perdana Menteri apabila tiba masanya.

“Jadi semua pihak terutamanya daripada PH boleh hormati keputusan itu (konsesus),”katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Perkhidmat Cemerlang Agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2018 di Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam yang mahukan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri secepat mungkin.

Terdahulu, Kumaresan yang juga Ketua AMK Bayan Baru mengeluarkan kenyataan itu berikutan kekalahan PH dua kali berturut-turut dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini.

Katanya, PH perlu bertindak segera untuk memperbetulkan kesilapan yang telah mengundang rasa ketidakpuasan hati rakyat, di mana Anwar perlu diangkat sebagai Perdana Menteri untuk menentukan hala tuju masa depan PH.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, Anwar dilihat mahir dalam urusan ekonomi negara dengan pengalaman beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini.

PH sebelum ini membuat persetujuan bahawa Dr Mahathir dijadual menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar pada pertengahan tahun 2020.