PKR Johor gesa peruntukan adil kepada ADUN

Jimmy Puah
Jimmy Puah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menggesa kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sama rata kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan Pengerusinya, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad perlu membuktikan 'cara Johor' dengan menyalurkan peruntukan adil kepada 29 ADUN kerajaan dan 27 ADUN pembangkang.

"Buat masa ini, ADUN kerajaan negeri menerima peruntukan tahunan lebih banyak berbanding ADUN pembangkang.

"Sementara ADUN pembangkang cuma diberi akses terhadap peruntukan kecemasan, pengurusan pejabat dan aktiviti rakyat tetapi tidak kepada peruntukan pembangunan sebanyak RM100,000 yang juga sama penting untuk kesejahteraan rakyat di kawasan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

ADUN Bukit Batu itu berkata, pihaknya turut menyambut baik pengumuman di peringkat Pusat berhubung semua ahli Parlimen akan menerima peruntukan bagi kawasan Parlimen masing-masing bermula September hingga Disember nanti.

"Menerusi pengumuman itu bermakna satu lagi terma perjanjian yang dituntut Pakatan Harapan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Parlimen akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Pengumuman tersebut menghormati semangat serta prinsip demokrasi apabila tidak berlaku diskriminasi terhadap ahli Parlimen pembangkang mahupun rakyat yang mengundi," katanya.

Pada Rabu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Yazid dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk memberikan peruntukan itu termasuk kepada wakil rakyat pembangkang bagi baki empat bulan terakhir tahun ini.

Artikel Berkaitan: