Tarik balik kebenaran pertambahan cabutan khas judi

Ahmad Rafaei A Rashid
Ahmad Rafaei A Rashid
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) terus digesa menarik kembali kebenaran cabutan khas judi bagi kemaslahatan rakyat dan negara.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei A Rashid berkata, isu pertambahan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali sehingga 22 kali setahun bermula 2021 tidak memberi kelebihan membantu ekonomi negara.

Jelasnya, keputusan kementerian itu hanya akan mendatangkan banyak keburukan termasuk keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

"Pas Pulau Pinang konsisten menentang kegiatan judi dan menggesa Kementerian Kewangan menarik balik kebenaran peningkatan cabutan khas nombor ramalan yang diumumkan sebelum ini.

"Banyak keburukan daripada kebaikan yang akan berlaku dengan kelulusan yang diberikan ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, penyelesaian Pas bagi perkara itu ialah Dokumen Hijau yang menjadi asas bagi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) dalam menyelesaikan isu-isu ekonomi semasa mengikut prinsip-prinsip Islam.

Pada 28 Disember, sebuah portal melaporkan dakwaan Pengarah Strategik DAP, Lew Chin Tong menyatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.

Artikel Berkaitan: