X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Pemilik kedai emas tak 'menang tangan'

Orang ramai sanggup beratur di luar premis menunggu giliran masing-masing untuk masuk ke dalam kedai emas.
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Pemilik kedai emas di negeri ini tidak 'menang tangan' apabila diserbu orang ramai yang mengambil peluang membeli barangan kemas susulan penurunan harga emas yang kini berada berada pada harga RM236 per gram.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedai emas di sekitar bandaraya di sini, mula dipenuhi pengunjung seawal jam 10 pagi bagi mendapatkan koleksi emas yang diidamkan mereka.

Begitupun, keterujaan pengunjung untuk membeli emas menyebabkan sebahagian besar mereka mengabaikan penjarakan sosial terutama ketika berada di kedai yang agak kecil walaupun masing-masing dilihat memakai pelitup muka.

Pemilik kedai emas Sri Gelugor, Wan Sayuti Wan Mohd, 40 berkata, dia tidak menjangkakan sambutan daripada pelanggan agak luar biasa kerana semua sedia maklum ketika ini ramai yang berdepan dengan masalah kewangan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) baru- baru ini.

"Saya tahu harga emas akan turun mendadak dan akan menarik perhatian peminat barang kemas ini tetapi saya tak sangka sambutan orang ramai hari ini sangat luar biasa.

"Alhamdulillah hari pertama kedai kami beroperasi, memang tak menang tangan kami melayan pelanggan sehinggalah kedai ditutup pada jam 5 petang. Di sini kami memang mengambil berat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pelanggan masuk secara berperingkat.

Pengunjung kedai emas Sri Gelugor, Kuala Terengganu sedang melihat koleksi barang emas yang dipamerkan di premis tersebut
Pengunjung kedai emas Sri Gelugor, Kuala Terengganu sedang melihat koleksi barang emas yang dipamerkan di premis tersebut

"Selain itu, hanya pelanggan yang lengkap vaksinasi dua dos sahaja boleh berurusan di premis ini selain perlu mengamalkan SOP yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di premisnya di Kompleks Perniagaan Paya Keladi, di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang pengunjung, Amirah Abu Hassan, 26 dari Bukit Payong, Marang berkata, dia datang ke bandar raya ini bersama suaminya melihat barang kemas dan akan membelinya sekiranya berkenan selain harga mengikut bajetnya.

"Sebagai peminat emas, saya sudah menjangka situasi di kedai emas padat dengan pengunjung memandangkan harga emas turun hari ini.

"Memang keadaan agak padat dan di sini (di kedai emas Sri Gelugor), saya perlu menunggu hampir 30 minit untuk melihat koleksi barang kemas di sini memandangkan premis ini dipenuhi orang ramai," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Noor Baizura Omar, 39 dari Kuala Terengganu berkata, dia lebih gemar membeli barang kemas di kedai berbanding secara dalam talian bagi mengelakkan caj tambahan yang dikenakan oleh penjual dalam talian.

“Saya tahu harga emas turun sekarang tetapi selepas meninjau di beberapa kedai saya dapati di sini menawarkan harga yang lebih murah.

“Saya memang suka simpan barang kemas sebagai aset, jadi bila tahu harga emas turun, saya akan dapatkan dengan segera barang kemas yang dihajati,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!