RMK12: Aktiviti ekonomi luar bandar dirancakkan

Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 kilometer jalan berturap yang berjumlah RM695.5 juta. - Gambar hiasan
Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 kilometer jalan berturap yang berjumlah RM695.5 juta. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti ekonomi luar bandar yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 kilometer jalan berturap yang berjumlah RM695.5 juta.

“Antaranya, Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit, Sarawak dengan melibatkan kos RM280 juta manakala Jalan Dudar ke Taburan ke Mendawang di Kota Belud, Sabah pula melibatkan kos RM101 juta.

“Selain itu, Jalan Luar Bandar dari Simpang Felcra Ulu Kerut ke Kampung Orang Asli Bot-Bot ke Felda Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran, Pahang dengan kos RM135.3 juta dan Jalan Baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang di Negeri Sembilan dengan kos projek sebanyak RM179.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, usaha juga akan dipertingkat untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus.

Jelas beliau, bagi mempergiat aktiviti sosioekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksanakan seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak RM310 juta dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos sebanyak RM1.6 bilion.

“Usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga giat melaksanakan Pelan Pemulihan Felda untuk mengembalikan kegemilangan agensi ini dalam membela nasib rakyat.

Jelasnya, pemulihan ini melibatkan penstrukturan semula kewangan Felda dan memperkasa taraf sosioekonomi warga Felda.

“Hasrat kerajaan adalah untuk menjadikan Felda sebagai peneraju dalam pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara. Kita mahu Felda lebih mampan dan menjadi contoh dalam transformasi komuniti luar bandar yang moden serta progresif,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menangani isu perumahan generasi kedua Felda dengan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua.

"Melalui model ini, generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk yang standard oleh kerajaan," ujarnya.