Jual kit ujian kendiri cecah RM34 seunit

Norena bersama penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan di premis yang menjual kit ujian kendiri Covid-19.
Norena bersama penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan di premis yang menjual kit ujian kendiri Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesan terdapat premis di negeri ini mengambil kesempatan dengan menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga kawalan runcit RM19. 90 seunit.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan yang dijalankan di 86 buah premis mendapati ada peniaga mengenakan harga RM34 untuk setiap unit iaitu mencecah hampir dua kali ganda harga kawalan yang ditetapkan kerajaan Pusat.

"Pasukan penguat kuasa telah membuat pemeriksaan mengejut sejak 5 September lalu di premis-premis di peringkat peruncit dan pemborong yang menjual kit Covid-19.

"Kita mendapati ada yang jual lebih daripada harga kawalan dan kertas siasatan telah dibuka mengikut mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

Norena berkata demikian pada sidang akhbar pemeriksaan harga jualan kit Covid-19 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini pada Isnin.

Jelas beliau, kebanyakan premis termasuk farmasi menjual alat keperluan itu pada kadar ditetapkan, malah terdapat mereka yang menjual kit itu di bawah harga borong iaitu sekitar RM14.90 seunit.

"Harga ini juga lebih rendah berbanding harga di peringkat pemborong iaitu RM16 seunit.

"Ia sekali gus menunjukkan mereka faham hasrat kerajaan dan prihatin dengan keperluan pengguna terutamanya yang mempunyai ahli keluarga ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Norena berkata, harga jualan ayam di negeri ini stabil dan rata-rata peringkat rantaian dari pengeluar sehingga peruncit telah menurunkan harga sekitar RM5.99 sehingga RM9.50 sekilogram.

"Kami juga telah mengeluarkan sebanyak 24 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada rantaian pengeluaran ayam di negeri ini sejak 8 September lalu," katanya.