Sekolah, balai polis di Pekan Lintang ditenggelami banjir

Mohd Zolkafly (kanan) melihat keadaan SK Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi Isnin.
Mohd Zolkafly (kanan) melihat keadaan SK Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Sekolah Kebangsaan Lintang dan Balai Polis Lintang antara yang terjejas teruk akibat banjir kilat yang berlaku di Pekan Lintang, di sini susulan hujan lebat sejak awal pagi Isnin.

Selain itu, tiga lagi perkampungan berhampiran iaitu Kampung Chior, Kampung Lintang dan Kampung Tok Sirat turut dinaiki air.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, akibat keadaan itu, seramai 103 orang penduduk telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Menurutnya, kejadian banjir berkenaan berlaku berikutan limpahan air Sungai Pelus disebabkan hujan lebat.

"Banjir kilat ini berlaku bermula jam 1 pagi hingga ketika ini. Banjir ini merupakan yang besar berbanding yang berlaku pada tahun 2014.

"Pada tahun 2014, banjir yang berlaku tidak melibatkan banyak kawasan tetapi kali ini hampir keseluruhan kawasan dinaiki air sehingga 1.5 meter," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan banjir di Pekan Lintang, di sini pada Isnin.

Mohd Zolkafly melihat keadaan Balai Polis Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi Isnin.
Mohd Zolkafly melihat keadaan Balai Polis Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zolkafly berkata, banjir bagaimana dilihat mulai surut dan jika cuaca semakin baik, mangsa terlibat boleh pulang ke rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar akan membuat penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa terlibat secara terperinci dan bantuan akan salurkan kepada mangsa secepat mungkin.

Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, Zakaria Manaf, 82 menyifatkan banjir kali ini sangat memberi kesan kepada penduduk.

Menurutnya, hujan lebat yang melanda kawasan itu menyebabkan dia tidak lena tidur kerana bimbang kejadian pada tahun 2014 berulang dan mengakui sempat menyelamatkan barang-barang dan dokumen berharga sebelum dihanyutkan air.

"Masa tahun 2014 lalu memang teruk sebab kami tak sempat nak selamatkan barang-barang tetapi kali ini kami lebih bersedia.

Keadaan Balai Polis Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang melanda Pekan Lintang pada Isnin.
Keadaan Balai Polis Lintang yang dinaiki air akibat banjir kilat yang melanda Pekan Lintang pada Isnin.

"Saya sempat simpan barang-barang penting cuma anak yang tinggal berhampiran tak sempat nak selamatkan barang-barang mereka," katanya.

Dalam pada itu, tiga PPS yang dibuka ialah di Dewan Lintang menempatkan 21 orang, Dewan Tok Sirat sebanyak 13 keluarga dan Sekolah Kebangsaan Lasah seramai 21 mangsa banjir.